Monday 1 August 2011

Rebutlah peluang keemasan di bulan Ramadhan


     Bulan Ramadhan adalah bulan yang terlalu banyak kelebihannya. Di dalamnya terdapatnya malam lailatul Qadar iaitu malam kemuliaan yang lebih baik dari 1000 bulan. Pada bulan ini Allah membuka pintu syurga, menutup pintu neraka dan mengikat syaitan-syaitan untuk memberi peluang kepada manusia membersihkan diri mereka sebersih-bersihnya. Amal-amal ibadah dan kebajikan digandakan Allah di mana yang sunat diberi pahala wajib/fardhu dan yang fardhu menyamai 70 fardhu di bulan-bulan yang lain. Amat banyak kelebihan bulan Ramadhan yang perlu kita terokai dan ketahui sebagai bekal menjalani bulan yang mulia ini.
Mengulangkaji kembali ilmu atau pengetahuan tentang puasa
    Amalan yang paling utama di bulan Ramadhan ialah puasa. Puasa difardhukan pada siang hari sepanjang bulan Ramadhan. Untuk mencapai puasa yang sempurna kita hendaklah memiliki ilmu tentang bagaimana melaksanakan puasa yang sebenarnya sebagaimana yang dituntut oleh Syara’. Oleh itu, ada baiknya kita mengulangkaji ilmu-ilmu tentang puasa merangkumi;

1. Rukun-rukun puasa serta sunat-sunatnya
2. Perkara-perkara yang membatalkan puasa
3. Perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa
4. Dan segala yang berkaitan dengan ibadah puasa
Membaca kembali kelebihan-kelebihan bulan Ramadhan
    Ada di kalangan kita tidak merasa apa-apa dengan kedatangan Ramadhan. Bagi mereka, Ramadhan sama seperti bulan-bulan yang lain; tiba masanya ia datang dan tiba masanya ia berlalu pergi. Punca sikap ini adalah kerana mereka tidak mengetahui kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan atau kerana mereka melupainya. Kerana itu amat perlulah hadis-hadis Nabi s.a.w. tentang fadhilat dan kelebihan Ramadhan dibaca dan diulang-ulangkan.
    Amat banyak hadis Nabi s.a.w. yang menceritakan kelebihan dan keistimewaan Ramadhan, antaranya;
a) Ramadhan adalah penghapus dosa
b) Pada bulan Ramadhan dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan
c) Lima anugerah khusus Allah untuk umat Muhammad di bulan Ramadhan
1. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah
2. Segala perbelanjaan dan derita lapar selama berpuasa adalah syurga balasannya.
3. Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatul Qadar.
4. Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda.
5. Dikurniakan nikmat keseronokkan ketika berbuka dan ketika menemui tuhannya di akhirat.
c) Malam al-Qadar
Kelebihan malam al-Qadar iaitu;
  1. Ia merupakan malam penurunan al-Quran.
  2. Beramal pada malam al-Qadar lebih baik dari beramal selama seribu bulan (iaitu 83 tahun 4 bulan) bagi malam yang tidak terdapat di dalamnya Lailatul Qadar.
  3. Pada malam itu, Jibril dan juga para malaikat turun ke langit dunia atau ke bumi dengan membawa kebaikan dan keberkatan yang ditetapkan Allah untuk tahun tersebut hingga datang malam al-Qadar berikutnya. Menurut Imam Ibnu Kathir; “Banyaknya malaikat yang turun pada malam al-Qadar adalah kerana banyaknya keberkatan malam tersebut. Para malaikat turun bersama turunnya berkat dan rahmat sebagaimana mereka turun tatkala mendengar bacaan al-Quran, mereka melingkungi halaqah-halaqah zikir dan mereka membentangkan sayap-sayap mereka kepada orang yang keluar mencari ilmu untuk membesarkannya”.
  4. Malam al-Qadar itu penuh dengan kesejahteraan hingga terbit fajar, yakni; pada malam tersebut Allah tidak mentakdirkan melainkan perkara-perkara yang baik, selamat dan sejahtera. Ada ulama’ berpendapat; pada malam al-Qadar itu para malaikat yang turun akan mengucap salam kepada sekelian orang beriman yang mereka temui sama ada lelaki atau perempuan.

Antara amalan-amalan utama di bulan Ramadhan dapat kita senaraikan seperti berikut;
1) Berpuasa dengan sesungguh hati
2) Menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan solat sunat (terawikh, tahajjud dan sebagainya)
3) Menggiatkan ibadah di sepuluh malam terakhir ramadhan
4) Beriktikaf
5) Mencari malam al-Qadar (lailatul Qadar)
6) Membanyakkan bacaan al-Quran termasuklah bertadarus
7) Membanyakkan sedekah dan melakukan kebaikan untuk orang lain
8) Menunaikan umrah sunat bagi yang berkemampuan
9) Banyak berzikir, beristighfar dan memohon diberi syurga dan dijauhi neraka
10) Banyak berdoa (terutamanya ketika sedang berpuasa, ketika berbuka puasa dan doa lailatul-Qadar)
11) Bersahur
12) Segera berbuka sebaik saja masuk waktu berbuka.
13) Memberi makanan untuk orang berbuka puasa
14) Menjaga segala anggota, tingkah-laku dan tutur-kata sepanjang bulan Ramadhan
15) Meningkatkan ketakwaan dan kesabaran
Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama merebut peluang keemasan didalam bulan Ramadhan ini untuk menempah “tiket” ke syurga Allah s.w.t. Sedarlah kita semua, mungkin Ramadhan kali ini adalah ramadhan terakhir buat kita. Ajal maut di tangan Allah. Mungkin esok, mungkin lusa kita akan di “paksa” pergi. Bersedia atau tidak bukan alasan untuk si pencabut nyawa menangguhkan tugasnya. Moga ibadah kita hari esok lebih baik dari hari ini.Wassalaam,,,

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...